A A A

Manfaat kepada Pekerja

Gaji atau upah pekerja adalah berbeza, bergantung kepada kelulusan akademik, kemahiran, pengalaman bekerja atau pengetahuan teknikal berkaitan pekerjaan yang ditawarkan oleh syarikat. Gaji juga boleh ditawarkan mengikut jumlah masa bekerja atau berdasarkan komisyen jualan. Akta Kerja memperuntukkan terma dan syarat minimum (kebanyakannya dalam bentuk nilai kewangan) untuk kategori pekerja yang tertentu.

Di bawah Akta Kerja 1955 (Pindaan 2012), majikan perlu membayar gaji tidak lewat daripada 7 haribulan bagi setiap bulan. Pambayaran gaji bagi penamatan kontrak pula hendaklah dibayar kepada pekerja tersebut pada hari yang sama di mana kontrak perkhidmatan itu tamat.

Wang pendahuluan yang diberikan kepada pekerja tidak boleh melebihi jumlah aggregate gaji yang diperolehi oleh pekerja tersebut pada bulan sebelumnya, melainkan pendahuluan tersebut membolehkan pekerja untuk:

    1. membeli, membina atau membaiki sebuah rumah;
    2. membeli tanah;
    3. membeli ternakan;
    4. membeli sebuah kereta, motorsikal atau basikal; dan
    5. membeli syer perniagaan majikan itu yang ditawarkan untuk jualan oleh majikan tersebut.

Gaji tidak layak diberi kepada pekerja pada mana-mana tempoh masa semasa dalam penjara atau semasa menghadiri perbicaraan di Mahkamah kecuali sebagai saksi bagi pihak majikan.

Tiada potongan gaji yang boleh dibuat oleh pihak majikan selain daripada:

    1. Potongan hingga setakat apa-apa bayaran lebih yang dibuat atas kesilapan majikan dalam tempoh masa 3 bulan.
    2. Potongan bagi indemniti yang perlu dibayar kepada majikan oleh pekerja.
    3. Potongan untuk mendapatkan balik pendahuluan gaji yang telah dibuat.
    4. Potongan yang dibenarkan oleh undang-undang bertulis seperti KWSP, SOCSO, PCB dan sebagainya.
    5. Potongan yang dibuat atas permintaan bertulis daripada pekerja, berkaitan dengan pembayaran kepada kesatuan pekerja berdaftar atau koperasi dan persatuan pinjaman untuk pembayaran yuran keahlian, langganan, ansuran, atau lain-lain hutang.
    6. Potongan yang dibuat atas permintaan bertulis daripada pekerja berkenaan dengan apa-apa bayaran bagi syer perniagaan majikan yang ditawarkan kepada pekerja.
    7. Potongan yang dibuat atas permintaan bertulis daripada pekerja untuk pembayaran kepada pihak ketiga bagi pihak pekerja.
    8. Potongan yang dibuat atas permintaan bertulis daripada pekerja bagi pembelian apa-apa barang perniagaan majikan.
    9. Potongan yang dibuat bagi bayaran sewa tempat tinggal dan kos perkhidmatan, makanan dan minuman yang disediakan oleh majikan kepada pekerja di atas permintaan pekerja itu sendiri atau di bawah terma kontrak perkhidmatan pekerja.

Jumlah potongan tidak boleh melebihi 50% daripada gaji bulanan pekerja tersebut, melainkan untuk:

    1. Bayaran indemniti oleh majikan ke atas pekerjanya.
    2. Bayaran gaji akhir pekerja untuk amaun yang perlu dibayar kepada majikan dan baki amaun yang belum dibayar oleh pekerja semasa penamatan kontrak perkhidmatan.
    3. Pembayaran semula pinjaman perumahan (had sampingan sebanyak 25% dikenakan)

Walaubagaimanapun, ianya tidak menyalahi undang-undang bagi majikan untuk menyediakan kemudahan tertentu kepada pekerjanya seperti penginapan, makanan, petrol, elektrik, air, elaun perubatan dan sebagainya, sebagai manfaat tambahan ke atas gaji yang diberikan. Namun, majikan tidak boleh menyediakan minuman keras kepada mana-mana pekerja sebagai sebahagian daripada kontrak perkhidmatan.

Manfaat lain iaitu manfaat sampingan, termasuklah pampasan yang tidak melibatkan wang sebagai tambahan kepada gaji yang telah diberikan.

Pengambilan Pekerja Wanita

Tiada majikan yang boleh mengambil pekerja wanita untuk berkerja di sektor perindustrian atau pertanian di antara pukul 10 malam hingga 5 pagi atau memulakan kerja pada hari itu tanpa mempunyai satu tempoh selama 11 jam berturut-turut bebas daripada kerja tersebut.

Walaubagaimanapun, *Ketua Pengarah boleh mengecualikan secara bertulis atas permohonan yang dibuat kepadanya dalam hal tertentu bagi pekerja wanita atau golongan pekerja wanita daripada mana-mana sekatan dalam subsesyen ini, tertakluk kepada apa-apa syarat yang dikenakan.

Perlindungan Bersalin

Setiap pekerja wanita adalah layak diberikan cuti bersalin untuk tempoh tidak kurang daripada 60 hari berturut-turut bagi setiap kali bersalin.

Cuti bersalin tidak boleh bermula lebih awal daripada tempoh 30 hari sebelum bersalin atau lewat daripada hari berikutnya setelah bersalin.

Seorang pekerja wanita adalah layak menerima elaun cuti bersalin sekiranya beliau:

    1. Telah diambil bekerja lebih daripada 4 bulan sebelum bersalin.
    2. Telah diambil bekerja lebih daripada 90 hari dalam tempoh 9 bulan sebelum bersalin.

Sekiranya pekerja wanita tersebut meninggal dunia semasa dalam tempoh cuti bersalin, elaun cuti bersalin hendaklah dibayar kepada pewaris yang telah dinamakan.

Majikan tidak boleh memecat pekerja wanita yang tidak hadir bekerja setelah tamat tempoh cuti bersalin, sekiranya beliau disahkan oleh pengamal perubatan berdaftar mengidap apa-apa penyakit yang berbangkit daripada kehamilannya atau kerana bersalin, sehingga ketiadaannya melebihi tempoh 90 hari selepas cuti bersalin.

Waktu Bekerja

Di bawah kontrak perkhidmatan, seorang pekerja tidak boleh bekerja:

    1. lebih daripada 5 jam berturut-turut tanpa tempoh kelapangan / rehat kurang daripada 30 minit;
    2. lebih daripada 8 jam sehari;
    3. melebihi 10 jam dalam sehari;
    4. lebih daripada 48 jam seminggu.

Walau bagaimanapun, seorang pekerja boleh dikehendaki oleh majikannya supaya bekerja melebihi masa yang telah ditetapkan dan bekerja pada suatu hari rehat, jika:

    1. kemalangan, sebenar atau diancam, dalam atau berkaitan dengan tempat kerjanya;
    2. kerja, perlaksanaannya adalah perlu kepada kehidupan masyarakat;
    3. kerja yang perlu bagi pertahanan atau keselamatan Malaysia;
    4. kerja segera yang harus dilakukan ke atas jentera atau loji;
    5. suatu gangguan kerja yang tidak mungkin dapat dijangka; atau
    6. kerja yang harus dilakukan oleh pekerja dalam mana-mana perindustrian yang penting untuk ekonomi Malaysia atau mana-mana perkhidmatan penting seperti yang ditakrifkan di bawah Akta Hubungan Perusahaan.

Cuti Sakit

Pekerja yang telah disahkan melalui pemeriksaan oleh pengamal perubatan berdaftar yang dilantik oleh majikannya, berhak untuk mendapat cuti sakit berbayar:

Sekiranya pekerja tidak di masukkan ke hospital, bilangan hari cuti sakit adalah seperti berikut:

    1. 14 hari bagi setiap tahun kalendar jika pekerja tersebut telah berkhidmat kurang daripada 2 tahun;
    2. 18 hari bagi setiap tahun kalendar jika pekerja tersebut telah berkhidmat lebih daripada 2 tahun tetapi kurang daripada 5 tahun;
    3. 22 hari bagi setiap tahun kalendar jika pekerja tersebut telah berkhidmat lebih daripada 5 tahun; atau

Sekiranya pekerja dimasukkan ke hospital:

    1. 60 hari bagi setiap tahun kalendar sekiranya memerlukan ia tinggal dihospital dan mesti disahkan oleh pengamal perubatan atau pegawai perubatan berdaftar.

Seorang pekerja yang tidak hadir ke tempat kerja dengan mengambil cuti sakit yang:

    1. Tidak disahkan oleh pengamal perubatan atau pegawai perubatan berdaftar atau doktor pergigian; atau
    2. Disahkan oleh pengamal perubatan atau pegawai perubatan berdaftar atau doktor pergigian, tetapi tidak memaklumkan kepada majikannya dalam tempoh 48 jam daripada cuti sakit itu bermula; pekerja akan dianggap tidak berada di tempat kerja tanpa kebenaran majikan dan tanpa alasan yang munasabah.

Majikan hendaklah membayar pekerja dengan kadar gaji biasa untuk setiap hari bagi cuti sakit tersebut, dan pekerja hendaklah dianggap telah menerima cuti sakit berbayarnya jika dia menerima gaji bulanan dari majikannya untuk hari-hari di mana pekerja itu sedang bercuti sakit.

Cuti Tahunan

Seorang pekerja berhak mendapat cuti tahunan berbayar seperti berikut:

    1. 8 hari untuk setiap 12 bulan perkhidmatan berterusan dengan majikan yang sama, sekiranya telah berkhidmat dalam tempoh kurang daripada 2 tahun;
    2. 12 hari untuk setiap 12 bulan perkhidmatan berterusan dengan majikan yang sama, sekiranya telah berkhidmat lebih daripada 2 tahun dan kurang daripada 5 tahun;
    3. 16 hari untuk setiap 12 bulan perkhidmatan berterusan dengan majikan yang sama, sekiranya telah berkhidmat lebih daripada 5 tahun; dan sekiranya kontrak perkhidmatan berterusan dengan majikan yang sama tamat dalam tempoh kurang daripada 12 bulan, pekerja berhak untuk mendapat cuti tahunan berbayar mengikut nisbah langsung dengan bilangan bulan perkhidmatannya.

Mana-mana pecahan dari satu hari cuti tahunan bergaji yang dikira kurang daripada setengah satu hari hendaklah diabaikan, dan sekiranya pecahan dari satu hari ialah setengah atau lebih hendaklah dianggap sebagai satu hari.

Seorang pekerja yang bercuti tahunan berbayar berhak untuk mendapat cuti sakit atau cuti bersalin semasa cuti tahunan tersebut. Pekerja akan diberikan cuti sakit atau cuti bersalin tanpa mengambilkira cuti tahunan.

Pekerja berhak pada bayaran sebagai ganti (in lieu) kepada cuti tahunan jika atas permintaan majikan dia bersetuju secara bertulis tidak mengambil cuti tahunan itu.

Cuti Umum

Setiap pekerja berhak untuk mendapat cuti berbayar pada kadar gaji biasa dan dibayar pada hari yang berikutnya dalam satu tahun kalendar.

    1. Sepuluh hari yang telah diwartakan sebagai cuti umum, empat daripadanya ialah:
      • Hari Kebangsaan;
      • Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong;
      • Hari Keputeraan Raja atau Yang di-Pertua Negeri atau Hari Wilayah Persekutuan; dan
      • Hari Pekerja
    2. Pada mana-mana hari yang diisytiharkan sebagai cuti umum di bawah seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951:
      • Jika cuti umum jatuh pada hari kelepasan mingguan, maka hari yang berikutnya hendaklah menjadi hari kelepasan am.

Mana-mana pekerja yang tidak hadir bekerja pada hari bekerja sebelum atau selepas hari kelepasan am tidak berhak mendapat apa-apa bayaran hari kelepasan tersebut.

* Hanya terpakai untuk Semenanjung Malaysia & Wilayah Persekutuan sahaja

Aduan

Ketua Pengarah boleh menyiasat dan memutuskan apa-apa pertikaian yang berlaku di antara pekerja dan majikan berkaitan dengan gaji atau apa-apa pembayaran lain secara tunai di bawah mana-mana terma kontrak perkhidmatan atau di bawah peruntukan Akta Kerja.

Walau bagaimanapun, kuasa Ketua Pengarah adalah terbatas untuk menyiasat, mendengar, membuat keputusan atau membuat sebarang perintah terhadap tuntutan atau yang dianggap pertikaian bagi:

    1. yang belum selesai dalam mana-mana prosiding di bawah Akta Perhubungan Perusahaan;
    2. telah diputuskan oleh Menteri di bawah seksyen 20(3) Akta tersebut; atau
    3. telah dirujuk, atau masih belum selesai dalam mana-mana prosiding di hadapan Mahkamah Perusahaan.

Kuasa Ketua Pengarah di bawah seksyen 69(1)(a) diluaskan untuk meliputi pekerja dengan gaji bulanan melebihi RM2,000 tetapi tidak melebihi RM5,000.

Dana Persaraan, Keselamatan Sosial Dan Insurans

Di bawah Undang-Undang Buruh Malaysia, terdapat beberapa manfaat penting yang perlu diberikan kepada pekerja anda. Manfaat ini diperolehi secara potongan gaji dan juga melalui sumbangan oleh majikan:

    1. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
    2. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
    3. Insurans perubatan

Manfaat ini mesti difahami dengan jelas dan ditulis di dalam surat perlantikan kepada pekerja anda. Selain itu, manfaat lain adalah tidak wajib untuk ditawarkan melainkan anda memutuskan untuk memberikannya sebagai penghargaan kepada kecemerlangan prestasi perkhidmatan pekerja anda, contohnya setelah mencapai sasaran jualan yang dikehendaki

Maklumat di atas betul pada 14 Oktober 2021.