A A A

Hak Pekerja

Tanggungjawab Majikan dan Pekerja

Keselamatan pekerja di tempat kerja dirujuk sebagai Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA). Ia adalah peraturan berkaitan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja dan persekitaran kerja mereka. OSHA juga melindungi rakan sekerja, ahli keluarga, majikan, pelanggan serta individu yang mungkin terjejas akibat persekitaran tempat kerja.

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 adalah sebahagian daripada undang-undang Malaysia yang telah diwartakan pada 25 Febuari 1994 oleh Parlimen Malaysia. Prinsip Akta ini adalah untuk “Membuat peruntukan lanjut bagi menjamin keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang sedang bekerja, bagi melindungi orang lain terhadap risiko kepada keselamatan atau kesihatan berkaitan dengan aktiviti di tempat kerja mereka, menubuhkan Majilis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan yang berkaitan dengannya”.

    1. Bahaya fizikal seperti kebisingan, suhu melampau, radiasi dan sebagainya.
    2. Bahaya biologi seperti kulat, serangga perosak, penyakit berjangkit dan sebagainya.
    3. Bahaya kimia dan habuk seperti produk pembersihan, asbestos, habuk, asap dan sebagainya.
    4. Bahaya ergonomik seperti pengulangan, mengangkat, postur yang janggal dan sebagainya.
    5. Bahaya psikososial seperti tekanan, bebanan kerja, gangguan dan sebagainya.
    6. Bahaya keselamatan seperti tergelincir, tersepak dan terjatuh, peralatan rosak dan sebagainya.

Bahaya keselamatan adalah yang paling biasa berlaku di tempat kerja. Keadaan tempat kerja yang tidak selamat boleh menyebabkan kecederaan, kesakitan dan kematian. Antara bahaya keselamatan termasuklah:

    • Tumpahan di atas lantai atau tersandung, seperti lorong yang terhalang atau tali yang direntang di lantai.
    • Bekerja dari aras ketinggian, termasuk tangga, perancah, bumbung atau kawasan kerja yang tinggi.
    • Mesin jentera dan bahagian jentera yang tidak dikawal, pelindung mesin yang dipindahkan atau mesin mudah alih yang boleh tersentuh secara tidak sengaja.
    • Bahaya elektrik seperti wayar terdedah, tiada wayar bumi, pendawaian yang tidak betul.
    • Ruang yang terkurung / tertutup.
    • Bahaya yang berkaitan dengan mesin jentera seperti “lockout” dan “tag out”, keselamatan dandang, trak angkat susun (forklift) dan sebagainya.
    • Bahaya kebakaran yang boleh menyebabkan penyedutan gas toksik, lemas kerana kekurangan oksigen dan melecur.

Tanggungjawab Majikan

Di bawah Akta ini, majikan bertanggungjawab untuk memastikan aspek keselamatan pekerja daripada perkara yang boleh mendatangkan kecederaan, kematian atau kerosakan kepada badan serta bertanggungjawab untuk menyediakan Kelengkapan Perlindungan Diri (PPE) di tempat kerja supaya mereka dapat bekerja dengan selamat. Ini termasuk peralatan seperti topi keselamatan, sarung tangan, pelindung mata, pakaian yang mudah dilihat, kasut keselamatan tali pengikat keselamatan (harness) dan peralatan perlindungan pernafasan.

Tanggungjawab Pekerja

    • Mengetahui dan memahami tindakan dan prosedur keselamatan semasa bekerja.
    • Mengetahui dan peka kepada persekitaran yang boleh membawa kepada kemalangan dan kecederaan.
    • Mengamalkan budaya kerja yang selamat tanpa leka.
    • Menyiasat dan melaporkan kemalangan, penyakit, keracunan dan kejadian berbahaya yang berlaku di tempat kerja kepada penyelia atau pihak pengurusan.
    • Mengambil langkah-langkah pencegahan ke arah kemalangan sifar agar isu keselamatan di tempat kerja menjadi tanggungjawab bersama oleh majikan dan pekerja.

Keperluan Undang-Undang Buruh

Dasar pengambilan pekerja di Malaysia dikawal selia oleh undang-undang yang telah digubal di Parlimen yang mengenal pasti kewajipan majikan dan pekerja:

Akta Kerja 1955 (Pindaan 2012)
Persetujuan secara lisan atau bertulis, di mana seorang individu bersetuju untuk mengambil individu lain sebagai pekerjanya dan yang lain bersetuju untuk berkhidmat dengan majikannya sebagai seorang pekerja. Akta ini merangkumi pekerja di sektor swasta dengan pendapatan tidak melebihi RM1,500 sebulan. Akta Kerja 1955 ini hanya terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja. Manakala Sabah dan Sarawak, menggunakan Ordinan Buruh.

Akta Kanak-Kanak Dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 (Pindaan 2010)
Akta ini bertujuan untuk mengelakkan eksploitasi buruh kanak-kanak. “Kanak-kanak” adalah orang yang belum mencapai usia 15 tahun (sebelum: 14 tahun). “Orang muda” adalah orang yang bukan kanak-kanak dan belum mencapai usia 18 tahun (sebelum: 16 tahun). Kanak-kanak tidak dibenarkan atau dikehendaki untuk terlibat dalam apa-apa kerja yang berbahaya dan hanya boleh melakukan kerja ringan tanpa melibatkan penggunaan jentera atau dalam mana-mana pekerjaan di bawah tanah.

Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Semakan 2010)
Akta yang menggalakkan dan mengekalkan keharmonian perusahaan, memperuntukkan peraturan bagi hubungan antara majikan, pekerja dan kesatuan sekerja, dan mencegah dan menyelesaikan apa-apa perbezaan atau pertikaian yang timbul. Secara umumnya adalah untuk menangani pertikaian perdagangan dan hal-hal yang timbul daripadanya (7 Ogos 1967).

Akta Kilang Dan Jentera 1967 (Disemak 1974)
Akta ini meliputi semua jenis aktiviti kilang dan pembuatan yang berkait dengan perlindungan kesihatan, keselamatan dan kebajikan semua pekerja kilang.

Akta Kerja (Sekatan) 1968 (Akta 353) (Semakan 1988)
Menyediakan permit pekerjaan, pendaftaran dan sekatan bagi bukan warganegara Malaysia. Kegagalan untuk mematuhi peraturan ini adalah salah di bawah Akta Imigresen 1966 dan tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas majikan dan pekerja.

Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969
Dikuatkuasa oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menyediakan perlindungan insurans kepada pekerja yang terlibat dalam kemalangan di tempat kerja termasuk penyakit khidmat. Akta ini meliputi pekerja di sektor swasta yang mempunyai gaji kurang daripada RM3,000 sebulan dan berdaftar dengan PERKESO tanpa mengira usia.

Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau KWSP dikenakan ke atas kesemua pekerja yang menerima gaji, yang bertujuan untuk memastikan mereka mempunyai dana tersedia pada umur persaraan. Sumbangan pekerja adalah 11% daripada gaji bulanan, dan tambahan 13% adalah daripada majikan. Bagi pekerja asing dan pegawai dagang (expatriate), majikan hendaklah menyumbang sebanyak RM5 bagi setiap pekerja dan sumbangan pekerja kekal pada 11%.

Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 154)
Peraturan yang berkaitan dengan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja dan persekitaran kerja, bekerjasama dengan majikan atau mana-mana pihak lain dalam menunaikan tanggungjawab pekerjaan yang ditugaskan oleh majikan. Akta ini menggariskan bahawa setiap pekerja perlu menggunakan kelengkapan perlindungan diri atau pakaian yang disediakan oleh pihak majikan yang bertujuan untuk mencegah risiko dan mematuhi apa-apa arahan mengenai keselamatan dan kesihatan yang tertakluk di bawah mana-mana peraturan ini.

Akta Umur Persaraan Minimum 2012
Umur persaraan minimum seorang pekerja ditetapkan pada umur 60 tahun. Menteri boleh meningkatkan had umur minimum ini dalam keadaan tertentu. Undang-undang ini terbahagi kepada lima Bahagian dan 19 Artikel. Jadual tersebut juga menyenaraikan kategori individu yang tidak termasuk dalam Akta ini.

Akta Pembangunan Sumber Manusia 2001 (Akta 612)
Akta untuk mengadakan peruntukan bagi pengenaan dan pemungutan levi pembangunan sumber manusia bagi menggalakkan latihan dan pembangunan pekerja, perantis dan pelatih dan penubuhan dan pentadbiran Kumpulan Wang. Dana di bawah Akta ini menggalakkan majikan untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja tempatan, perantis dan pelatih dalam usaha untuk mengekalkan landskap perniagaan global yang pesat berkembang disamping memenuhi aspirasi syarikat masing-masing.

Perintah Gaji Minimum 2016
Selaras dengan matlamat pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2016, seorang pekerja sepenuh masa hendaklah dibayar gaji minimum purata tidak kurang daripada RM1,000 sebulan (Semenanjung Malaysia) atau RM920 sebulan (Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan). Pekerja sepenuh masa bergaji harian yang hadir bekerja pada hari-hari biasa sepertimana yang telah ditentukan dalam kontrak perkhidmatan tanpa mengambilkira jumlah jam bekerja, perlu dibayar gaji minimumnya berdasarkan fomula berikut

8 Prinsip Dalam Mengambil Pekerja Berkebolehan
oleh Amy Klimek, Naib Presiden Sumber Manusia di ZipRecruiter.com.

Perniagaan peringkat permulaan tidak boleh menjalankan perniagaan mereka seperti syarikat-syarikat besar kerana syarikat besar ini memanfaatkan jenama dan kestabilan syarikat untuk menarik pekerja berkebolehan dalam industri. Walaupun syarikat anda masih tidak mempunyai nama yang kukuh atau rekod prestasi yang mantap, anda boleh mengunakan prinsip-prinsip lain yang boleh membantu jabatan sumber manusia di syarikat anda untuk menarik pekerja berkebolehan bekerja dengan syarikat anda.

    1. Mewujudkan Sesuatu Yang Hebat: Anda mesti menunjukkan keyakinan kepada pekerja bahawa anda sedang membina sesuatu yang hebat. Pekerja yang datang bekerja seharusnya datang kerana mereka ingin mengatakan bahawa mereka ada bersama anda dari mula.Para pekerja inginkan kepuasan untuk membantu membina sebuah syarikat dari bawah. Menarik pekerja baharu dengan cara ini akan membolehkan mereka melihat potensi diri mereka melalui tugasan yang diberikan. Pekerja juga akan mempunyai lebih banyak ruang untuk berkembang dan mereka juga akan lebih suka untuk kekal bersama perniagaan anda hingga berjaya.
    2. Persekitaran Pejabat Baru: Persekitaran pejabat anda tidak semestinya perlu berada dalam suasana biasa. Syarikat besar kebiasaannya mempunyai persekitaran pejabat yang mungkin tidak berubah dalam beberapa dekad. Pekerja baharu anda akan berasa lebih selesa dengan persekitaran yang lebih moden. Kebenaran berpakaian kasual, waktu bekerja yang fleksibel dan pihak pengurusan yang lebih memahami akan menarik pekerja dari syarikat besar yang kebiasaanya mempunyai peraturan yang ketat.
    3. Pilihan Saham dan Masa Hadapan: Syarikat anda mungkin tidak mempunyai nilai saham pada hari ini, tetapi pekerja baharu anda boleh menjadi sebahagian daripada individu pertama yang menerima saham daripada syarikat anda. Pekerja ini mungkin boleh menjadi kaya raya jika pertumbuhan syarikat anda tinggi dan mereka akan cenderung untuk kekal bersama anda. Anda membina perniagaan anda bersama-sama dengan pekerja anda dan perlu menjadikan mereka berasa lebih dihargai dan bernilai untuk syarikat, bukan sekadar pekerja semata-mata.
    4. Akses ke Peringkat Lebih Tinggi: Pekerja baru akan bekerja rapat dengan anda sebaik diambil bekerja. Mereka akan meluangkan sepenuh masa di pejabat anda dengan bekerjasama dengan individu lain yang menguruskan segalanya. Pekerja yang pernah bekerja dengan syarikat besar tahu bahawa mereka tidak berpeluang untuk berjumpa dengan eksekutif atau lembaga pengarah. Oleh itu, beri peluang kepada pekerja anda untuk menghadiri mesyuarat penting supaya mereka merasa menjadi sebahagian daripada perniagaan anda dan boleh membezakan perniagaan anda dengan perniagaan lain.
    5. Kreativiti: Syarikat besar di dunia tidak begitu kreatif berbanding perniagaan peringkat permulaan kerana syarikat besar hanya membuat pembungkusan semula berkali-kali untuk mendapatkan jualan. Perniagaan anda perlu bermula dari bawah dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan baharu. Pekerja anda perlu menjadi sebahagian daripada proses kreativiti ini dan seterusnya pekerja tersebut akan menimba pengalaman yang mungkin tidak akan diperoleh sekiranya mereka bekerja dalam syarikat yang lebih besar.
    6. Pemberian Bonus: Sebahagian daripada modal teroka perniagaan anda perlu diperuntukkan untuk membayar bonus kepada pekerja anda. Anda perlu memberi mereka insentif kerana bekerja dengan anda dan anda mungkin ingin memberi bonus berdasarkan prestasi perkhidmatannya jika mampu. Syarikat lebih besar kebiasaannya memberikan bonus ini kepada pekerja peringkat pengurusan tinggi, tetapi anda boleh memberikan bonus ini kepada semua pekerja anda.
    7. Penglibatan Semua: Anda perlu menjadikan setiap pekerja anda sebagai satu pasukan. Pekerja mahu menjadi sebahagian daripada syarikat dan mereka harus mempunyai kebebasan untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan syarikat. Sebagai contoh, penyambut tetamu perlu terlibat dalam mesyuarat perancangan sebagaimana jawatan penting lain seperti jurutera. Merevolusikan pejabat juga adalah perlu untuk meningkatkan moral pekerja anda. Oleh itu, pekerja akan gembira datang ke pejabat kerana mereka tahu pandangan daripada mereka juga penting untuk syarikat anda.
    8. Tiada Jurang Generasi: Syarikat anda tidak mempunyai jurang generasi seperti yang wujud dalam perniagaan lain. Eksekutif di syarikat lain tidak memahami pekerja muda yang telah diambil bekerja dan jurang tersebut akan menyebabkan masalah di pejabat. Anda perlu menekankan bahawa pekerja muda ini difahami dalam segala cara. Anda berada pada usia mereka dan anda tidak terlalu tua daripada mereka. Anda juga mempunyai pemahaman yang jelas bagaimana generasi muda ini berfikir tentang kerja yang anda lakukan dan anda harus membiarkan mereka tahu bahawa anda peduli bagaimana cara pemikiran mereka.

Panduan ini akan membantu anda untuk mengambil pekerja yang berkebolehan. Andamemperkenalkan perniagaan anda dalam cara yang berbeza dan pekerja akan melihat perbezaan tersebut pada hari pertama mereka bekerja. Kaedah pengambilan pekerja yang bijak akan membantu anda untuk mendapatkan pekerja yang setia bekerja dengan anda.

Maklumat di atas betul pada 14 Oktober 2021.