Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan (MPUPK)
Latar Belakang
Sejak 2004, Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (MPPK) telah menjadi badan pembuat dasar tertinggi dengan fungsi strategiknya yang merangkumi pembangunan PKS secara menyeluruh dan terselaras merentas kesemua sektor ekonomi di Malaysia. Oleh kerana penekanan dan tumpuan yang lebih meluas telah diberikan terhadap pembangunan keusahawanan, Majlis ini telah dijenamakan semula sebagai Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan (MPUPK). Penjenamaan semula ini telah diumumkan dan dipersetujui bersama melalui mesyuarat pertama yang telah berlangsung pada 8 April 2019.
Majlis ini terdiri daripada 18 orang ahli yang berkaitan:
- Perdana Menteri sebagai Pengerusi;
- Menteri Kewangan;
- Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah;
- Menteri Perladangan Dan Komoditi;
- Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan;
- Menteri Ekonomi;
- Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan;
- Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri;
- Menteri Pendidikan Tinggi;
- Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi;
- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup;
- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi;
- Menteri Pelancongan Seni dan Budaya;
- Menteri Komunikasi dan Digital;
- Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Sabah;
- Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak;
- Ketua Setiausaha Negara; dan
- Gabenor Bank Negara Malaysia
Dalam usaha untuk mencapai sasaran sebanyak 41% sumbangan KDNK oleh PKS seperti yang digariskan dalam Pelan Induk PKS 2012-2020, Majlis ini telah meluluskan lapan (8) cadangan dan langkah baharu untuk meningkatkan lagi pertumbuhan tahunan dan sumbangan KDNK oleh PKS, iaitu:
- Memperhebatkan pendigitalan oleh PKS;
- Meningkatkan integrasi PKS ke dalam rantaian bekalan negara;
- Meningkatkan lebih banyak PKS yang mempunyai pertumbuhan tinggi melalui insentif yang ditawarkan;
- Melonjakkan tahap kesediaan dan daya saing PKS untuk menerapkan teknologi dan model perniagaan innovative-disruptive-compelling;
- Memudahkan mekanisme pembiayaan alternatif untuk PKS;
- Mengembalikan rantaian nilai PKS di luar negara ke Malaysia;
- Memacu pertumbuhan, mengukuhkan dan menggalakkan eksport gerbang pembayaran tempatan dan teknologi kewangan (fintech) oleh PKS;
- Meningkatkan penyertaan PKS dalam rantaian industri pelancongan
Berdasarkan Rangka Kerja Keusahawanan Nasional (NEF) yang selari dengan lapan (8) langkah cadangan untuk meningkatkan lagi pertumbuhan PKS, Dasar Keusahawanan Nasional (NEP) telah dirangka bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan yang komprehensif, inklusif dan holistik untuk PKS di negara ini.